Saturday

Kerajaan Berfungsi Menjaga Kebajikan Rakyat

1. Islam melarang keras tindakan kerajaan atau pihak berkuasa mencampuri urusan kenaikan harga barangan, terutama bahan keperluan harian yang menjadi kegunaan tetap rakyat.

2. Malah urusan itu perlu diserahkan kepada pihak-pihak yang mengendalikan keperluan berkenaan seperti syarikat atau badan-badan yang bebas daripada pengaruh anasir pihak kerajaan.

3. Kerajaan hanya perlu menumpukan bidang tugasnya kepada urusan pentadbiran negara/negeri dengan mengambil kira kebajikan rakyat dalam segenap aktiviti, memperbaiki sistem perundangan dengan mengelakkan daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya yang hanya berlegar di kalangan mereka yang terdekat, khususnya dalam pemberian tender atau projek mega.

4. Pihak berkuasa, pemerintah atau kerajaan hanya dibenarkan mencampuri urusan berkenaan, jika terdapat pihak tertentu yang cuba memonopoli, menyorok atau menaikkan harga barangan mengikut sesuka hati bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung oleh pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

5. Tanggungjawab dan peranan kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan amat perlu. Ia boleh dianggap sebagai orang tengah yang memiliki kuasa untuk membatalkan mana-mana tindakan syarikat atau badan tertentu yang sewenang-wenang bertindak membelakangkan kebajikan orang ramai.

6. Campur tangan kerajaan dalam situasi seumpama ini bagaikan membela rakyat dan menghilangkan rasa bebanan yang ditanggung mereka. Inilah kerajaan yang baik menurut pandangan Islam.

7. Sehubungan dengan usaha kerajaan di atas, seorang tokoh ulama masa kini yang cukup ternama, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas isu berkenaan menurut pandangan agama, ia disiarkan dalam laman web islamonline.net.

8. Beliau menegaskan, bahawa Islam memberikan kebebasan dalam perlakuan pemasaran barangan dengan norma-norma yang dilihat tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sesuatu pihak, sama ada pembekal (peniaga) mahupun pengguna (pembeli).

9. Ia berasaskan satu riwayat di mana berlaku kenaikan harga barangan pada zaman pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w., orang ramai menemui baginda dan berkata: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu mengenai kenaikan harga barangan (pada barangan keperluan harian)? Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu Yang Maha Pemberi Rezeki, Maha Luas kurniaan-Nya, maka tidak ada orang yang boleh berlaku zalim (dalam urusan kenaikan harga barang) apa apa jua alasan yang melibatkan barangan atau tubuh badan.

10. Ia satu gambaran, di mana Islam melarang menaikkan harga sesuatu barangan hingga tidak mampu dibeli oleh pengguna atau menambahkan bebanan mereka kerana berpendapatan rendah, ia disifatkan sebagai satu tindakan zalim dilakukan oleh pihak peniaga.

11. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, ialah campur tangan kerajaan dalam menentukan kenaikan harga seperti bahan api kerana mahu mengaut keuntungan pihak tertentu. Pada masa sama ia mengarah peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

12. Bagaimana mereka tidak akan menaikkan harga, sedangkan semuanya ada kaitan dengan kenaikan harga minyak, peniaga yang menggunakan lori terpaksa bayar lebih daripada biasa untuk membeli diesel. Penyelesaiannya adalah kerajaan perlu belajar daripada hadis Nabi di atas bagi mengelak bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Friday

Benarkah politik (siasah) kotor?

1. Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan oleh sesetengah pihak.

2. Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebih-lebih lagi tiada mana negara-negara umat Islam yang menjalankan sistem politik yang berasaskan Siasah Syariah sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senario politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di Teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya.

3. Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projek-projek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.

4. Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka. Tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?

5. Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah.

6. Ia bertujuan mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.

7. Jika pelaksanaan sistem politik dalam sesebuah negara berjalan mengikut kebenaran wahyu Ilahi, maka maksud sesuatu penyelewengan dalam sistem politik tidak akan berlaku seperti yang ditegaskan.

PUTERA ISLAM ©Penafian: Putera Islam tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan akibat menggunakan laman web ini.Hakcipta Terpelihara Mohd Arif@2009 Mohd Arif.

TOPO